Ilmu Adalah Harta Warisan Rasulullah


Ketibaan Rabiulawal mengingatkan kita kepada peristiwa besar iaitu kelahiran junjungan Nabi Muhammad SAW. Bulan ini juga menyaksikan peristiwa hijrah Baginda SAW yang menyaksikan Islam berada pada tapak yang semakin kukuh.

Pembangunan yang dibawa Baginda SAW amat bermakna kepada seluruh umat sehingga ungkapan menyebut: Saudaramu Isa menyeru pada jasad yang mati lalu ia bangun berdiri. Dan kamu (Muhammad) menghidupkan umat daripada hilang harga diri. 

Nikmat agung 

Kedatangan dan perutusan Baginda membawa agama Islam adalah satu nikmat agung kepada umat Islam kerana dengan agama Islam mereka terselamat daripada kekufuran dan kejahilan. Islam menyelamatkan kita daripada melakukan perbuatan tidak diterima akal yang sejahtera. 

Alangkah beruntungnya kita dengan nikmat Islam ini, walaupun tiada nikmat di atas dunia ini selain Islam, nescaya ia sudah mencukupi untuk melayakkan umat Islam berada di persada kecemerlangan.

Bagi meraikan bulan mulia ini, marilah mempelajari dan memahami kelebihan Baginda SAW yang tiada pada makhluk lain antaranya Baginda dianugerahkan kitab (al-Quran) yang dibaca sehingga hari kiamat di mana syariatnya merangkumi seluruh syariat nabi dan rasul. 

Padanya ada semua rujukan membabitkan semua urusan manusia sejagat. Firman Allah SWT: Dan kami turunkan padamu Alkitab (al-Quran) sebagai penjelasan kepada semua perkara termasuk rahmat, petunjuk dan berita baik untuk kaum Muslimin. (Surah an-Nahl, ayat 89) 

Baginda juga tidak meninggalkan warisan dan segala peninggalannya adalah sedekah. Kita dapat melihat selepas kewafatan Baginda SAW, anaknya Fatimah bertanyakan peninggalan Baginda SAW.

Tidak tinggalkan warisan

Sahabat menjawab, kami mendengar Baginda SAW bersabda: Kami Nabi-Nabi tidak meninggalkan warisan dan apa yang kami tinggalkan daripada sedikit harta adalah sedekah untuk kaum Muslimin.

Ilmu juga adalah warisan nabi dan rasul seperti dijelaskan Baginda SAW: Sesungguhnya kami nabi tidak mewariskan harta seumpama manusia lain, tetapi kami mewariskan ilmu untuk dipelajari.

Semua manusia meninggalkan petanda dalam kehidupan mereka. Tanda orang beriman ialah tidak suka kepada harta dunia, wanita (maksiat dan mengikut hawa nafsu) atau menyebut keaiban orang lain. Tanda orang berilmu ialah jujur dalam berbicara, menjauhi perkara haram dan tawaduk (rendah diri).

Tanda orang yang bertakwa ialah takut berdusta dan perkara keji, menjauhi kejahatan dan mendapatkan yang halal. Tanda orang benar itu merahsiakan ibadat sunat, sedekah dan dugaan yang menimpa dirinya kecuali orang tertentu.

Tanda ahli ibadah ialah selalu berwaspada terhadap perkara dosa dan sia-sia, muhasabah diri dan memperbanyakkan ibadah. Tanda orang salih ialah selalu memperbaiki hubungan dengan Allah, agamanya dengan beramal salih dan reda terhadap apa dikurniakan.

Makanan halal

Tanda orang bahagia ialah makanan halal, duduk bersama ulama dan solat lima waktu (berjemaah).

Tanda orang dermawan ialah memberi maaf ketika mampu untuk membalas, mengeluarkan zakat dan selalu menghulurkan sedekah.

Tanda orang yang baik ialah berusaha menghubungkan silaturahim terhadap orang yang memutuskannya, memberi sesuatu kebaikan orang yang bermusuh dengannya dan memaafkan orang yang menganiayanya.

Tanda orang sabar ialah sabar dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT, dugaan (musibah) dan qada (ketetapan) Allah SWT. Tanda orang yang benar-benar bertaubat ialah menjauhi segala yang haram, senang menuntut ilmu untuk beribadah kepada Allah SWT dan tidak kembali berbuat dosa.

Banyak kurniaan kepada Baginda SAW dan ada berpendapat antara kurniaan besar dikurniakan ialah sahabat. Pengorbanan besar yang dilakukan sahabat menempuh kesusahan dengan seluruh jiwa dan harta untuk Islam. Ini menjadi hujah sahabat adalah kurniaan yang besar kepada Baginda.

Nilai pengorbanan mereka sangat tinggi di sisi Allah SWT. Oleh itu, kemuliaan mereka telah diabadikan oleh kata-kata Baginda SAW dalam hadis: Sahabatku adalah umpama bintang-bintang di langit. Selama mana kamu mengikuti mereka, selama itulah kamu akan mendapat petunjuk.

Sabda Baginda SAW lagi: Sebaik-baik kurun adalah kurunku (semasa aku hidup). Kemudian seterusnya (sahabat) dan seterusnya (selepas sahabat atau tabiin). (Muttafaq Alaih) 

Perbicaraan sangat panjang berkaitan kurniaan Allah SWT kepada junjungan Besar SAW. Namun, apa yang perlu kita lakukan menjelang bulan kelahiran insan agung ini adalah memperbanyakkan selawat dan salam kepada Baginda SAW. 

Daripada Hasan bin Ali, Baginda SAW bersabda: Perbanyakkanlah kamu akan selawat terhadapku kerana ia akan mengampunkan dosa-dosa kamu serta diangkat darjatmu seterusnya akan mendapat syafaatku pada hari kiamat. (Jami Soghir) 

Ada riwayat menyatakan Baginda akan menjawab setiap selawat dan salam daripada semua umatnya. 

Baginda SAW bersabda: Barang siapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barang siapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan akhirat dan aku sebagai saksi dan pembela baginya. (Riwayat Baihaqi) 

Mempelajari sirah dan perjalanan hidup Baginda SAW adalah dituntut dan mengajar atau menggalakkan anak mempelajarinya adalah lambang kebahagiaan mereka pada masa depan.

Amalan paling wajar bagi menyambut bulan kelahiran Baginda SAW adalah memperbanyakkan selawat dan salam terhadap Junjungan Besar SAW di samping pahala dan ganjaran besar di sisi Allah SWT.
Ilmu Adalah Harta Warisan Rasulullah Ilmu Adalah Harta Warisan Rasulullah Reviewed by Kreativ on 7:51:00 PG Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.