Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Setiap anak yang dilahirkan adalah fitrah dan suci. Kedua orang tua yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ibu bapa adalah guru utama, manakala keluarga pula sekolah pertama yang berfungsi untuk melahirkan generasi terbaik yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.” (Surah al-Bayyinah, ayat 7)
Al-Quran juga mengingatkan umat Islam supaya tidak meninggalkan generasi yang lemah kerana Islam amat memerlukan generasi yang kuat, cerdas, penyejuk mata dan hati ibu bapa serta pemimpin orang bertakwa yang berjuang menegakkan Islam di bumi Allah.
Firman Allah SWT: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertakwa.” (Surah al-Furqan, ayat 74)
Oleh itu, pendidikan Islam seharusnya berorientasikan al-Quran iaitu pembentukan akhlak Islam, bukannya berorientasikan nilai akademik dan kelulusan semata-mata, apatah lagi mengabaikan aspek akhlak.
Luqman al-Hakim telah memberikan teladan terbaik dalam mendidik anak yang soleh iaitu pembinaan akidah terlebih dulu. Jika akidah tauhidnya kuat, maka keperibadiannya pun akan baik.
Firman Allah SWT: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Lukman, ayat 13-14)
Anak perlu dipelihara serta dididik dengan baik supaya tumbuh menjadi pohon yang kukuh, yang tidak terjerumus pada hal-hal negatif.
Nabi Yaakub bertanya kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati? Mereka menjawab: Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah saja kami berserah diri (dengan penuh iman).” (Surah al-Baqarah, ayat 133)
Begitu juga dengan perkembangan anak di tengah pergolakan kehidupan sosial yang berkecamuk ini. Gerakan musuh Islam yang sistematik cuba merosakkan akidah, pemikiran dan akhlak anak.
Anak-anak sewajarnya dibimbing, diasuh dan dipimpin menuju jalan yang benar. Jangan sama sekali mereka ditinggalkan dalam kesesatan. Adalah menjadi kewajipan ibu bapa membimbing anak membaca dan merenungi al-Quran sebagai penawar serta penyejuk hati.
Firman Allah SWT: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian juga.” (Surah al-Isra, ayat 82)
Didik Anak Berorientasikan Al-Quran
Reviewed by Kreativ
on
10:50:00 PG
Rating:
Tiada ulasan: