Dera Bukan Cara Untuk Ajar Isteri


Kedudukan istimewa suami bukan pasport seksa pasangan

Laporan mengenai wanita dalam pantang yang dibelasah suami tentunya mengundang marah, simpati dan keliru pembaca dengan apa yang berlaku. 

Mengapa suami tergamak melakukan perbuatan itu, lebih-lebih lagi ketika masih berpantang selepas melahirkan anak. 

“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka” Surah an-Nisa, Ayat 34

Sebenarnya tidak ada alasan mengharuskan suami melakukan perbuatan itu. Jika ada kesilapan isteri, Islam sudah menetapkan beberapa langkah boleh diambil oleh suami. 

Cara ini sesuai dengan kedudukan suami bertindak sebagai pemimpin dan pelindung isteri. 

Firman Allah SWT: “Lelaki adalah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan) dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34) 

Selisih faham dan berbeza pendapat antara suami isteri adalah lumrah kerana tidak ada manusia sentiasa sama dalam semua perkara. 

Perbezaan sepatutnya menjadi asam garam kehidupan untuk menjadi lebih mesra, matang dan saling memerlukan antara suami isteri.

Terima pasangan seadanya

Suami isteri perlu menerima pasangan seadanya dan berusaha membaiki apa yang kurang. Ketaatan terhadap suami satu perkara penting yang diperintahkan agama agar dilakukan oleh setiap isteri. Isteri yang tidak patuh kepada suami tanpa alasan munasabah dipanggil nusyuz.

Sabda Rasulullah SAW: “Jika aku mahu menyuruh seseorang sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku terlebih dulu menyuruh seorang isteri sujud kepada suaminya.” (Riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah) 

Kedudukan istimewa suami bukan pasport untuk mendera isteri. Sebaliknya, ia satu amanah besar untuk menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak. Jadi, ditegah suami mendera isteri dengan apa cara sekalipun.

Beritahu perbuatan tak disukai

Jika isteri melakukan nusyuz, langkah pertama dilakukan suami adalah menyatakan bahawa perbuatan itu tidak disukainya dan menasihat isteri tidak mengulanginya. Mungkin isteri tidak mengetahui perbuatan itu tidak disukai suami dan menyalahi tuntutan agama.

Firman Allah SWT: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34) 

Sambungan ayat itu menjelaskan langkah seterusnya perlu dilakukan suami jika isteri masih ingkar iaitu meninggalkan tempat tidur. Jika masih tidak berubah, langkah disarankan agama ialah memukulnya dengan ringan bertujuan untuk memberi peringatan dan pengajaran.

Bukan tahap cederakan

Keizinan memukul isteri sebenarnya hanya pada tahap tidak mencederakan fizikal yang sekadar menunjukkan ketegasan suami supaya isteri tidak lagi berani melakukan perkara tidak diingini. Bahan untuk memukul itu biasanya berupa kain atau sifatnya tidak mendatangkan kecederaan.

Tentunya dalam kes penderaan terhadap isteri yang dilaporkan dalam media bukan bertujuan mengajar apabila sehingga menyebabkan kecederaan serius menggunakan objek keras dan tajam. Jika menggunakan lesung batu dan pisau, layaknya perbuatan itu dipanggil cubaan membunuh.

Rasulullah SAW memberi ingatan: “Mengapa ada lelaki dalam kalangan kamu yang suka memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, padahal dia akan menyetubuhi isterinya itu pada hari yang lain.” (Riwayat Ahmad) 

Selain penderaan fizikal, satu lagi penderaan ialah mental dan emosi yang boleh berlaku apabila suami melayan isteri dengan buruk, memanggilnya dengan panggilan menghina atau menjatuhkan maruahnya di depan orang. 

Isteri yang tidak tahan didera suami wajar membawa perkara itu ke Mahkamah Syariah. Mengikut kaedah fiqh, kemudaratan hendaklah dihilangkan supaya tidak berterusan. 

Mahkamah Syariah melalui bidang kuasa boleh memanggil suami dan memberi nasihat. Pendekatan menggunakan hakam (pendamai) juga dicadangkan untuk mengatasi masalah rumah tangga.

Firman Allah SWT: “Dan jika kamu khuatir ada persengketaan antara keduanya, kirimkan seorang hakam dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga wanita. Jika kedua-dua hakam itu bermaksud mengadakan perdamaian, nescaya Allah memberi petunjuk kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.” (Surah an-Nisa, ayat 35) 

Jika suami tidak berubah, isteri ada pilihan untuk membubarkan perkahwinan melalui perceraian. Isteri perlu mengetahui hak mereka dalam perkahwinan supaya tidak terus menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab suami.
Dera Bukan Cara Untuk Ajar Isteri Dera Bukan Cara Untuk Ajar Isteri Reviewed by Kreativ on 9:21:00 PG Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.