Berlaku Letupan Sebuah Mesin di Kilang Proses Barang Kejuruteraan di Jalan Haji Salleh, Meru


SELAMAT DIRI...pekerja keluar selepas berlaku letupan sebuah mesin di kilang
 proses barang kejuruteraan di Jalan Haji Salleh, Meru, semalam.

MERU: “Mesin membuat barangan elektronik yang sedang digunakan tiba-tiba meletup menyebabkan semua pekerja berhampiran lari dan tidak sempat menyelamatkan barang seperti dompet, telefon bimbit dan barangan berharga lain,” kata seorang pekerja mengenai kebakaran sebuah kilang memproses barang kejuruteraan di Jalan Haji Salleh, di sini, petang semalam.

Pekerja yang enggan dikenali itu berkata, ketika kejadian jam 4 petang, pekerja kilang itu dikejutkan dengan letupan sebuah mesin yang beroperasi.

“Tiba-tiba sebuah mesin meletup menyebabkan api merebak dengan cepat ke mesin lain dan rakan sekerja tergamam sebelum masing-masing melarikan diri ke tempat selamat.

“Tapi, saya bersyukur kerana rakan sekerja sempat menyelamatkan diri dan tidak berlaku insiden yang tidak diingini seperti kecederaan dan kehilangan nyawa,” katanya.

Pekerja itu berkata, kebakaran berpunca daripada mesin elektronik yang dipercayai sudah panas kerana terlalu lama digunakan untuk memproses barangan kejuruteraan.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Mohd Hamizal Ainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kebakaran itu jam 4.04 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang bergegas ke tempat kejadian.

“Seramai 24 anggota bomba dari Balai Bomba Sungai Pinang, Pelabuhan Klang dan Kota Raja terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran itu berikutan kebakaran yang agak serius,” katanya.

Hamizal berkata, kebakaran itu berjaya dikawal jam 4.57 petang dan punca serta jumlah kerugian kebakaran itu masih dalam siasatan.

Berlaku Letupan Sebuah Mesin di Kilang Proses Barang Kejuruteraan di Jalan Haji Salleh, Meru Berlaku Letupan Sebuah Mesin di Kilang Proses Barang Kejuruteraan di Jalan Haji Salleh, Meru Reviewed by Kreativ on 9:48:00 PG Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.