Nasib Malang Anak Comel Ditinggal Ibu Bapa


dorothy Chong Mei Sem menunjukkan gambar ibu dan bapanya 
pada sidang akhbar bersama Lee Kon Yin di Ipoh semalam.

IPOH – Kata pepatah Cina, kasih ayah setinggi gunung, kasih ibu sedalam laut.

Bagaimanapun, pepatah tersebut tidak menggambarkan nasib seorang kanak-kanak comel berusia tiga tahun, Chong Mei Sem apabila dia ditinggalkan oleh ibu bapanya untuk dipelihara oleh seorang peniaga sejak tiga bulan lalu.

Lebih memilukan, bapa kanak-kanak malang itu, Chong Chee Liong sanggup pula mengucapkan selamat hari lahir untuk anaknya itu melalui khidmat pesanan ringkas baru-baru ini.

Dia juga sanggup meletakkan sebiji kek hari jadi untuk anaknya itu di hadapan pintu pagar rumah penjaga anaknya di sini baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai masalah yang timbul, wanita dikenali sebagai Madam Choong, 52, yang memelihara Mei Sem berkata, kanak-kanak tersebut ditinggalkan oleh ibunya sendiri yang dikenali sebagai Chu Sin di rumahnya di Kampung Gunung Rapat dekat sini pada kira-kira pukul 10 malam, 9 Ogos lalu.

Katanya, Chu Sin meminta dia menjaga Mei Sem sementara dia keluar untuk mencari kerja dan berjanji memberikan upah sebanyak RM1,000 sebulan.

“Betul, memang dia beri upah RM1,000 itu dengan memasukkannya ke akaun bank saya tetapi hanya pada bulan September. Selepas itu langsung tiada apa-apa berita daripada mereka.

“Setiap panggilan ke telefon bimbit Chu Sin dan suaminya langsung tidak berjawab malahan saudara-mara pasangan terbabit juga tidak tahu ke mana mereka pergi,” katanya pada sidang akhbar bersama Pengerusi Biro Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional negeri, Datuk Lee Kon Yin di sini semalam.

Menurutnya, Mei Sem seorang kanak-kanak yang baik dan tidak pernah buat perangai.

“Apabila diberitahu ibu bapanya tiada, dia cuma diam dan bermain seperti biasa.

“Cuma sekarang saya tidak mampu lagi menanggungnya. Saya minta ibu atau bapanya ambil semula anaknya dan saya beri masa seminggu sebelum menyerahkan kanak-kanak ini ke Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Kon Yin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu bapa kanak-kanak itu supaya menghubungi beliau menerusi talian 05-253 6981 atau 012-515 1178.
Nasib Malang Anak Comel Ditinggal Ibu Bapa Nasib Malang Anak Comel Ditinggal Ibu Bapa Reviewed by Kreativ on 3:36:00 PG Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.