Kim Jong-un Tokoh 2012 Pembaca TIME

Kim Jong-un

Los Angeles: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mungkin dalam keadaan selesa ketika ini selepas beberapa lama memimpin sebagai pengganti bapanya, Kim Jong-il, lewat 2011. 

Meskipun dikecam antarabangsa, rakyat Korea Utara menyambut meriah pelancaran roket satelit saintifik negara mereka kelmarin. 
Terbaru, Kim mendapat undi terbanyak dalam tinjauan Tokoh 2012 pembaca majalah TIME selepas meraih 5.6 juta undi. 

Ini tidak bermakna Kim adalah Tokoh 2012 TIME kerana ia adalah keputusan pengarang majalah itu yang akan disiarkan pada 19 Disember menerusi program bual bicara Today selain TIME.com dan Twitter. 

Tinjauan di kalangan pembaca memberi peluang kepada mereka memutuskan siapa yang paling berpengaruh dari segi siaran berita pada tahun ini, sama ada secara positif atau sebaliknya. 

“Memang menarik untuk mengetahui siapa yang menjadi calon pilihan pembaca kami,” kata pengarang eksekutif TIME, Radhika Jones. 

Nama lain yang mendapat sokongan termasuk pengacara program bual bicara The Daily Show iaitu Jon Stewart; pendatang tanpa dokumen; pemenang pingat emas Olimpik, Gabby Douglas; pemimpin Myanmar, Aung San Suu Ky dan Thein Sein; Presiden Mesir, Mohamed Morsi dan Gabenor New Jersey, yang berada dalam 10 tempat teratas. 
Ada ramai pembaca yang tidak menyokong Morsi tetapi majalah itu menyifatkan kemunculannya dalam senarai pembacanya menunjukkan wujud sokongan kepada beliau di kalangan pengguna media sosial. 

Personaliti lain yang turut terpilih termasuk aktivis remaja Pakistan yang diserang militan Taliban di Pakistan, Malala Yousafzai berada di tempat ke-15. 

Penyanyi Korea Selatan, Psy yang terkenal menerusi lagu Gangnam Style yang kini video paling banyak ditonton di YouTube, di tempat ke-17. Agensi
Kim Jong-un Tokoh 2012 Pembaca TIME Kim Jong-un Tokoh 2012 Pembaca TIME Reviewed by Kreativ on 6:59:00 PG Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.