Syaitan gemar dengan perpecahan dan kemusnahan manusia seperti janjinya di depan Allah SWT untuk melakukan apa juga tindakan yang memusnahkan kehidupan manusia. Syaitan berasal daripada api dan tabiatnya untuk melalaikan manusia.
Oleh itu, ia wujud di mana saja manusia berada. Ia mempunyai kebolehan menyerupai sesuatu di alam nyata, memperalatkan tubuh manusia, malah boleh hidup dalam badan orang yang disukainya.
Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam diri manusia mengikuti perjalanan darah.
Allah SWT berfirman: “Katakanlah: Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus.” (Surah Al-Maidah, ayat 77)
Syaitan seakan mengetahui kecenderungan nafsu kita dan sentiasa berusaha untuk menguasainya, memenuhi kehendak dan kecenderungan buruk itu.
Firman Allah SWT: “Kami datangkan bagi setiap nabi itu syaitan daripada kalangan jin dan manusia. Jin adalah satu golongan dan manusia adalah satu golongan yang lain. Kedua-dua golongan ini boleh menjadi syaitan (sifat) yang melakukan kejahatan di atas muka dunia ini.” (Surah Al-An'am, ayat 112)
Biasanya syaitan menyampaikan bisikan jahat supaya manusia melanggar segala arahan Allah SWT. Syaitan sentiasa membisikkan kata-kata ‘manis’ yang bersifat menghasut kepada manusia. Matlamatnya adalah untuk mencipta permusuhan dan kebencian semasa manusia.
Allah berfirman yang bermaksud bermaksud: “Sesungguhnya syaitan bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu.” (Surah Al-Maidah, ayat 91)
Kerja syaitan dan tenteranya menghasut iaitu memasukkan dalam hati manusia rasa was-was serta mencampakkan ke dalamnya angan-angan untuk memesongkan manusia daripada taat kepada Allah supaya ia tergelincir ke dalam lembah kehancuran.
Firman Allah SWT: “Hasutlah siapa yang dapat kamu (syaitan) hasut di antara mereka (manusia) dengan suaramu. Seranglah mereka dengan pasukanmu yang berkuda dan berjalan kaki. Dan jadikanlah mereka sekutumu dalam kekayaan harta dan anak-anak. Berilah mereka janji-janji. Dan tidaklah yang dijanjikan kepada manusia oleh syaitan melainkan tipu belaka.” (Surah al-Isra', ayat 64)
Matlamat daripada segala tindak-tanduknya supaya manusia terdorong hatinya mengutamakan keinginan naluri, memenuhi tuntutan nafsu dan kekuasaan yang diidam-idamkan. Semuanya itu menjadi virus yang berjangkit dalam kehidupan masyarakat sejak dulu hingga sekarang.
Apabila manusia dikuasai syaitan, segala tindak-tanduk, perbuatan dan perlakuannya berada pada tahap hilang kewarasan atau pertimbangan akal. Segala kebaikan diperlekeh dengan kehendak dan tuntutan mencipta huru-hara yang ditiup api kebencian yang meluap-luap.
Nikmat keamanan yang dikurniakan Allah telah dilupai kerana dalam jiwa manusia itu sering mengejar angan-angan yang tidak berkesudahan.
Sebagai manusia biasa, memang menjadi lumrah untuk tidak berpuas hati dengan apa yang dimiliki. Sebahagian daripada kita sentiasa merungut, mengeluh dan ingin mencari kelainan, sedangkan Allah lebih mengetahui apa yang dirancang-Nya.
Memang menjadi matlamat syaitan untuk menyokong segala aktiviti dan perlakuan yang mencetuskan huru-hara serta kemusnahan. Mereka meniupkan api semangat dan membakar keinginan manusia untuk melakukan apa juga tindakan ke arah itu.
Dari sahabat bernama Jabir, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya iblis putus asa terhadap orang yang solat tetapi ia mampu memecah-belahkan perpaduan mereka.” (Riwayat Imam Bukhari)
Sikap melampau boleh menimbulkan kesan negatif terhadap individu, keluarga, masyarakat dan negara. Sifat melampau seperti ini sememangnya menjadi musuh yang ditentang Islam.
Allah SWT berfirman: “Katakanlah: Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus.” (Surah Al-Maidah, ayat 77)
Godaan Syaitan Hapus Nikmat Keamanan
Reviewed by Kreativ
on
10:28:00 PG
Rating:
Tiada ulasan: