MESRA...Raja Nong Chik (tengah) bersalaman dengan peserta Seminar
Misi Bandar dan Kehidupan Pintar anjuran kerajaan United Kingdom, semalam.
KUALA LUMPUR: Tidak akan ada lagi peniaga mahupun penjaja yang beroperasi di bahu jalan atau sekitarnya, apabila pembangunan semula Pasar Raja Bot, di sini, yang lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit siap pada 2015.
Ia berikutan peruntukan tambahan diminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini, bagi membolehkan 400 lagi lot niaga dibina, menjadikan jumlah keseluruhannya melebihi 2,000 tapak.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berkata, DBKL kini berurusan dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, memohon peruntukan tambahan yang belum diputuskan lagi.
“DBKL masih memohon, belum dapat apa-apa kelulusan. Kami pun tak pasti berapa jumlahnya. Namun peruntukan tambahan ini kalau kita tak dapat pun, masih akan tetap teruskan pembangunan Pasar Chow Kit mengikut fasa yang dipersetujui sebelum ini.
“Tambahan adalah untuk menampung permintaan peniaga yang mahu 400 lot tambahan supaya peniaga yang kini bertaburan di tepi jalan pun masuk sekali (dipindahkan ke bangunan baru).
“Ini kerana mengikut perancangan asal, kementerian hanya sediakan untuk mereka yang berniaga dalam pasar sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Seminar Misi Bandar dan Kehidupan Pintar anjuran kerajaan United Kingdom di sini, semalam. Hadir sama Menteri Negara (Pembangunan Antarabangsa) bagi Kerajaan Britain, Alan Duncan dan Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Simon Featherstone.
Pembangunan semula Pasar Raja Bot dimulakan pertengahan tahun ini dijalankan mengikut tiga fasa yang menelan belanja RM200 juta bertujuan mewujudkan kemudahan pasar moden yang lebih selesa kepada peniaga dan pengunjung.
Mengikut perancangan, pasar baru berkenaan dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada 2015, namun tempat letak kereta yang disediakan meliputi 410 lot dijadualkan siap pada 2017.
Nong Chik berkata, beliau yakin projek siap mengikut apa yang sudah dirancang, malah turut mendapat persetujuan peniaga berkenaan.
“Ketika ini, projek masih dalam proses pengambilalihan beberapa lot kedai untuk pembesaran dan dari segi umumnya berdasarkan kaji selidik dibuat dengan pekedai dan peniaga pasar, majoritinya bersetuju dengan reka bentuk pembangunan semula.
“Kami pun sudah adakan dua pertemuan dan sudah ada kata putus mengenai reka bentuk. Sekarang hanya nak buka tender untuk lantik kontraktor sebelum boleh teruskan dengan kerja pembinaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/07
Peniaga Sendiri Akan Dapat Tempat Baru
Reviewed by Kreativ
on
12:01:00 PTG
Rating:
Tiada ulasan: