Hasil boleh bina institusi pendidikan, hospital bantu asnaf
Jumlah kutipan zakat di seluruh negara dijangka meningkat terutama pada penghujung tahun apabila sebilangan masyarakat Islam mengambil kesempatan menyelesaikan kewajipan membayar zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan dan emas serta perak. Lebih RM1 bilion zakat dikutip di seluruh negara tahun lalu dengan Selangor mengumpul jumlah tertinggi iaitu kira-kira RM394 juta.
Ini menunjukkan ramai orang Islam mula sedar dan sentiasa patuh kepada kewajipan zakat ke atas harta terutama hasil perniagaan yang diusahakan. Ia juga petunjuk taraf kehidupan masyarakat Islam di Malaysia bertambah baik lagi diberkati hasil kepatuhan melaksanakan kewajipan syariat.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanya untuk orang fakir, dan orang miskin dan amil yang mengurusnya dan mualaf yang dijinakkan hatinya serta untuk hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Tawbah, ayat 60)
Malah hakikat ini selari dengan makna zakat dari segi bahasa iaitu tumbuh, bersih, suci, berkembang lagi diberkati. Justeru, tidak hairan jika ada perniagaan berubah menjadi semakin maju hasil kepatuhan membayar zakat perniagaan.
Natijahnya, agihan zakat yang bakal dinikmati asnaf penerima zakat juga bertambah dan secara tidak langsung menyumbang kepada keharmonian dan kesejahteraan ummah sejagat. Namun, asnaf perlu sedar ia bukan bantuan seumur hidup sehingga menjadikan mereka malas berusaha dan hanya mengharapkan pertolongan orang lain. Mereka sepatutnya berusaha membebaskan diri daripada kemiskinan.
Bebas daripada kemiskinan
Apabila ini dapat dilakukan, bantuan khusus secara berkala kepada golongan miskin tegar dapat diminimumkan dan kutipan zakat boleh dimanfaatkan untuk menjana potensi pembangunan ummah dalam bidang pendidikan, kesihatan serta keusahawanan.
Dalam bidang pendidikan, selain bantuan biasiswa, wang zakat boleh digunakan untuk menampung kos pendidikan di institusi pendidikan yang dibina khusus bagi asnaf.
Pusat pungutan zakat setiap negeri boleh menyalurkan sebahagian peruntukan untuk membina pusat kecemerlangan yang memberi pelajar kemahiran tertentu seperti pertukangan, jahitan, industri kecil dan sederhana serta bidang peruncitan.
Pusat kecemerlangan akademik dalam bidang profesional seperti kedoktoran, guaman, perakaunan dan teknikal yang belum dikuasai orang Islam juga boleh ditubuhkan dan anak asnaf terpilih ditawar mengikuti kursus bagi menambah bilangan Muslim dalam bidang itu.
Dalam bidang kesihatan, hospital atau klinik zakat boleh ditubuhkan bagi membantu asnaf yang menghidap penyakit kritikal mendapat rawatan percuma. Ia membantu mempercepatkan rawatan serta pembedahan kepada golongan kurang mampu yang terpaksa menunggu lama untuk mendapat rawatan di hospital awam.
Wujud pusat perubatan
Asnaf tidak wajar dibiar menanggung kesakitan sendirian. Justeru, kewujudan pusat perubatan kelolaan institusi zakat mampu memberi sinar baru dalam kehidupan Muslim yang ditimpa musibah penyakit.
Pembinaan gedung perniagaan berasaskan mekanisme zakat dan wakaf boleh ditubuhkan di setiap negeri bagi membolehkan asnaf menerima bantuan modal menjalankan perniagaan di premis yang dipantau rapi oleh badan khas.
Dimensi baru
Semua pihak terutama pentadbir zakat, ulama dan ahli akademik harus berbincang dengan lebih terperinci bagi menghasilkan dimensi baru agihan zakat di Malaysia.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanya untuk orang fakir, dan orang miskin dan amil yang mengurusnya dan mualaf yang dijinakkan hatinya serta untuk hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Tawbah, ayat 60)
Sempena Bulan Zakat Kebangsaan, umat Islam diseru melipatgandakan usaha bagi meraih pendapatan halal dengan penuh dedikasi sehingga menjadi pembayar zakat bukan berebut-rebut menjadi penerima zakat. Usaha memantapkan lagi pengurusan dan agihan zakat perlu dilakukan dari masa ke semasa bagi mengelak ia diselewengkan atau tidak diagihkan kepada sasaran.
Ini penting bagi memelihara ketinggian institusi Islam daripada dipersalahkan sekali gus mencalarkan imej Islam pada pandangan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia.
Era kegemilangan institusi zakat dan baitulmal zaman silam perlu terus dikaji, diteliti dan dicontohi bagi merealisasikan tema Bulan Zakat Kebangsaan iaitu ‘Agihan Tepat Zakat Berkat’ lalu manfaatnya diraih oleh seramai mungkin asnaf zakat di seluruh negara.
Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru
Cari Dimensi Baru Urus Wang Zakat
Reviewed by Kreativ
on
7:41:00 PG
Rating:
Tiada ulasan: