Mantapkan Ilmu Sebelum Berdakwah



Kita semua adalah pendakwah dengan cara, gaya dan kaedah sendiri, sekalipun hanya menyampaikan sebaris nasihat, sepatah kata ataupun segulung hujahan. Semua muslimin dan muslimat mesti terbabit dalam usaha dakwah Islamiah. 

Firman Allah SWT: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (seperti yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik.” (Surah Ali-Imran, ayat 110) 
Dakwah perlu dilakukan oleh semua umat Islam. Justeru, menjadi kewajipan umat Islam untuk menuntut ilmu, memahaminya dan mengamalkan ilmu itu sebelum mengajar atau menyebarkannya. Itu adalah tuntutan dalam Islam. 

Pengetahuan luas 

Pengetahuan agama seperti ilmu al-Quran dan as-Sunnah, akidah, syariat, akhlak, sejarah dan sirah juga pendedahan ilmu dakwah (termasuk aliran pemikiran semasa yang menjadi penghalang kepada proses dakwah) diperlukan oleh pendakwah. 

Selain pengetahuan, perlu juga pembentukan sahsiah yang teguh dan keperibadian kental bagi menghadapi cabaran berbentuk hujahan, polemik dan perdebatan menyentuh ilmu, fakta serta cabaran moral. 

Ada yang boleh berhadapan dengan cabaran ilmu tetapi tidak mampu berdepan cabaran moral. Dakwah hari ini boleh dilakukan secara lisan, tulisan, melalui internet, laman sosial, emel, media cetak serta elektronik. 
Namun, cara dakwah yang paling unggul adalah melalui percakapan, perlakuan dan akhlak yang berhemah berdasarkan ‘uswah hasanah’ seperti yang ditonjolkan Nabi SAW ketika menyeru kaum jahiliah kira-kira 1,400 tahun lalu. 

Tiga cara berdakwah 

Ada tiga cara berdakwah merangkumi hikmah kebijaksanaan, penyampaian nasihat dan kaedah berbahas mengikut kesesuaian sesuatu keadaan. Hikmah kebijaksanaan memerlukan mereka yang punyai ilmu mantap, jiwa halus, fahaman menyeluruh serta dapat menyelami jiwa dan pemikiran orang. 

Penyampaian nasihat secara berhemah pula mampu dilaksanakan oleh mereka yang mempunyai bahasa beradab. Kata-katanya dapat merangsangkan, menggembirakan dan juga menakutkan pendengar melalui gambaran serta penjelasan mengenai sesuatu perkara. 

Kaedah berbahas pula perlu digalas oleh mereka yang menguasai ilmu yang mantap, fahaman jitu dan pertuturan teratur supaya dapat memberi hujahan tajam menusuk akal dan kalbu. 

Ketiga-tiga cara ini mesti digunakan pendakwah untuk menangkis tuduhan dan kecaman kaum munafik melalui penjelasan terperinci bagi kefahaman umat Islam dan bukan Islam. Ia juga bertujuan memperbetulkan tanggapan, pandangan ataupun amalan yang menyimpang daripada ajaran Islam. 

Kemunculan fenomena baru seperti ajaran sesat, perbuatan bidaah adalah pembaharuan fikiran berlandaskan akal dan logika yang terbatas dipelopori oleh kaum munafik bagi menguasai minda serta jasad mereka yang lemah imannya. 

Semua penjelasan mengenai perkara duniawi dan ukhrawi sudah diberikan Allah SWT dalam risalahNya. Jika umat Islam tidak memahami risalahNya dan tidak mengamalkan ajaranNya sebaik-baiknya, mereka boleh diperalatkan oleh anasir Barat melalui propaganda mereka. 

Provokasi melampau 

Provokasi yang dilakukan mereka bertujuan membuat umat Islam hilang pertimbangan dan memberontak di jalanan lantas menjerumuskan mereka ke kancah syaitan dengan perlakuan tidak terkawal. Lantas mudah kaum munafik menggelar umat Islam sebagai ekstremis. 

Hanya melalui kefahaman menyeluruh mengenai cabaran sengit yang mendepani Islam dan umatnya, barulah umat Islam boleh menghindar diri daripada dipengaruhi oleh dakyah Barat. 

Inilah pentingnya peranan dakwah Islamiah dalam menyatupadukan umat Islam dan menegakkan agama Islam di bumi Allah SWT ini.
Mantapkan Ilmu Sebelum Berdakwah Mantapkan Ilmu Sebelum Berdakwah Reviewed by Kreativ on 9:08:00 PG Rating: 5

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.