Kementerian Kesihatan Malaysia sedang
menjalankan aktiviti pelalian measles (demam campak) kepada kanak-kanak
berumur 1 hingga 6 tahun di kawasan yang telah dikenalpasti berisiko
tinggi untuk jangkitan measles berlaku, khususnya di Selangor, WP Kuala
Lumpur dan Sarawak. Aktiviti pelalian ini dijalankan di klinik kerajaan,
taska, tadika, pusat jagaan kanak-kanak kerajaan dan swasta serta
kawasan kediaman seperti projek perumahan rakyat mulai bulan Oktober
hingga Disember 2012 bagi mencegah jangkitan measles.
Justeru, ibu bapa diminta memberi
kerjasama untuk membenarkan anak mereka diberi pelalian measles
tersebut. Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat akan mengumumkan tarikh
dan tempat aktiviti pelalian akan diadakan melalui edaran risalah;
sekurang-kurangnya seminggu sebelum aktiviti tersebut dijalankan.
Pelalian measles memberi perlindungan
terhadap jangkitan measles. Pada tahun 2011 sebanyak 1,569 kes disahkan
measles (kadar kes 55 bagi setiap satu juta penduduk) dicatatkan,
meningkat pada tahun 2012 kepada 1,224 kes (40 kes bagi setiap satu juta
penduduk) sehingga Jun. Sebanyak 70% daripada kes measles yang dikesan
didapati tiada pelalian measles.
Kementerian Kesihatan Malaysia
menyasarkan pengurangan penyakit measles kepada hanya 28 kes setahun. Ia
selari dengan sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia agar measles
dihapuskan dari Rantau Asia Pasifik menjelang akhir tahun 2012; dengan
bilangan kes measles hanya satu (1) bagi setiap 1 juta penduduk.
Pelalian measles dengan liputan melebihi 95% dapat mencegah jangkitan
measles dari menular dalam masyarakat. Oleh itu, Kementerian Kesihatan
Malaysia menyeru agar masyarakat memberi kerjasama sepenuhnya dengan
memastikan anak-anak mereka mendapatkan pelalian measles, agar jangkitan
measles dapat dikurangkan, seterusnya sasaran menghapuskan measles
dapat dicapai.
Untuk makluman, measles merupakan
sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus measles. Ia amat mudah
berjangkit kepada orang lain melalui titisan cecair (droplets)
mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin. Kebiasaannya
pesakit akan sembuh seperti sedia kala. Walau bagaimanapun komplikasi
serius seperti otitis media, pneumonia, encephalitis, cirit-birit dan kematian boleh berlaku.
Pelalian Campak (MEASLES) Bagi Mencapai Status Eliminasi Demam Campak
Reviewed by Kreativ
on
12:42:00 PG
Rating:
Tiada ulasan: